Oleh: Haikal Tajuddin
PETALING JAYA: Kes denggi mencecah 112,833 kes dengan 104 kematian setakat ini berbanding 103,371 kes dan 80 kematian pada tahun lalu.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, angka itu diperoleh menerusi Minggu Epidemiologi ke-45 baru-baru ini.
“Sebanyak 1,583 kes demam denggi dan dua kematian akibat komplikasi demam denggi dlaporkan berbanding 1,346 kes serta satu kematian pada minggu sebelum ini.
“Berdasarkan analisa yang dilakukan, didapati kematian akibat jangkitan denggi menunjukkan peningkatan pada tahun ini,” jelasnya dalam kenyataan pada Jumaat.
Dalam pada itu, terdapat 39 lokaliti aktif hotspot telah direkodkan pada Minggu Epidemiologi ke-45 berbanding 27 lokaliti pada minggu sebelumnya.
Daripada 39 lokaliti yang dilaporkan, 25 daripadanya adalah berlaku di Selangor, lima di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, empat di Negeri Sembilan, dua di Pulau Pinang, dua di Sabah manakala satu di Perak.
“Oleh itu, masyarakat disaran untuk segera mendapatkan rawatan awal di mana-mana fasiliti kesihatan sekiranya mengalami tanda dan gejala demam denggi seperti demam secara tiba-tiba, sakit otot atau sendi, sakit kepala dan sakit dibelakang mata.
“Gejala seperti muntah berterusan, sakit perut, keletihan melampau, pendarahan hidung, muntah berdarah dan kesukaran bernafas merupakan tanda-tanda amaran akibat komplikasi demam denggi.
“Kelewatan mendapatkan rawatan awal boleh meningkatkan risiko kematian. Oleh itu, KKM berharap dengan komitmen semua pihak, kes kematian denggi akan dapat dikurangkan. Tiada Aedes, tiada denggi,” ujarnya.
Baca juga: