Oleh: Haikal Tajuddin
PETALING JAYA: Kerajaan disaran menerokai kaedah yang lebih inovatif dan berkesan untuk pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan TInggi Nasional (PTPTN), kata Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man.
Beliau mengulas pertimbangan agensi itu untuk menghentikan pembiayaan kepada kursus universiti yang merekodkan kadar bayaran balik yang rendah iaitu di bawah 30 peratus.
“Sebahagian besar pelajar hari ini sangat bergantung kepada pinjaman PTPTN terutama mereka yang latar belakang mereka kurang mampu terutama keluarga B40.
“PTPTN memainkan peranan yang sangat penting dalam membolehkan individu menamatkan pengajian mereka, sekali gus memudahkan akses mereka kepada peluang kerjaya yang lebih baik.
“Struktur pinjaman ini juga lebih komprehensif kerana merangkumi yuran pengajian dan perbelanjaan hidup yang sangat diperlukan.
“Sokongan ini amat diperlukan bagi membolehkan pelajar memberi fokus sepenuhnya kepada pengajian tanpa dibebani dengan tekanan kewangan,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau memuji kerajaan Sarawak yang memberi insentif pembayaran balik sebanyak 30 peratus kepada graduan yang telah membayar 30 peratus daripada pinjaman mereka.
Hal ini kerana sokongan kuat adalah usaha terbaik bagi melahirkan tenaga kerja profesional seterusnya bakal pemimpin kepada masyarakat kelak.
“Ia sedikit sebanyak dapat membantu memecahkan kitaran kemiskinan di samping menyediakan peluang yang sama bagi semua pelajar, tanpa mengira status sosio-ekonomi,” ujarnya.
Terdahulu, Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, cadangan itu adalah sebahagian usaha dengan universiti tempatan untuk menggalakkan bayaran balik dalam kalangan peminjam.