Oleh: Shafira Aziz
PETALING JAYA: Pelantikan Datuk Rizalman Ibrahim sebagai Profesor Adjung dalam bidang Pengajian Islam dan Al-Quran Al-Hadith oleh dua universiti awam telah mencetuskan pelbagai reaksi.
Namun, Ahli Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Mohd Hariri Mohamad Daud, mempertahankan keputusan itu bahawa Rizalman memberi sumbangan besar dalam memajukan pendidikan al-Quran di Malaysia.
“Minat dan keterlibatan Rizalman terhadap pendidikan Al-Quran sangat luar biasa,” katanya menerusi Facebook pada Jumaat.
Tambahnya lagi, bekas pereka fesyen itu bukan sahaja mengasaskan Dar Al Qari dan Yayasan RI yang fokus kepada literasi Al-Quran, tetapi juga aktif menyalurkan sumbangan kepada beberapa fakulti Pengajian Islam di universiti awam seperti USIM, Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Hariri turut menjelaskan di USIM, kerjasama dengan Rizalman direalisasikan melalui Memorandum Persefahaman (MoU) bernilai RM100,000 untuk tajaan geran penyelidikan dalam bidang Pengajian Islam.
Tidak hanya itu, Rizalman turut menaja biasiswa pelajar siswazah meliputi yuran pengajian, elaun sara hidup dan elaun buku yang bernilai RM21,842 untuk tempoh lapan semester.
“Beliau juga menyokong Institut Ibnu Ummi Makhtum di USIM yang memberi tumpuan kepada kajian Al-Quran bagi OKU (orang kurang upaya).
“Kita memerlukan lebih ramai insan seperti beliau untuk membangunkan generasi Al-Quran melalui pendidikan tinggi,” tambahnya lagi.
Terdahulu, Rizalman dilantik sebagai Profesor Adjung Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith Akademi Pengajian Islam, UM berkuat kuasa 23 Oktober lalu.
Namun, pelantikan Rizalman mengundang kecaman daripada segelintir warga maya yang mempersoalkan kredibiliti beliau dalam memegang jawatan tersebut.
Baca juga: