Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari membentangkan Belanjawan 2025 berjumlah RM3 bilion menerusi tema Selangor Dinamik: Cita Sempurna Malaysia Madani.
Peruntukan ini meningkat sebanyak RM470 juta berbanding tahun lalu sebanyak RM2.53 bilion.
Jelasnya, peruntukan itu merangkumi RM1.7 bilion atau 56.7 peratus perbelanjaan mengurus dan RM1.3 bilion atau 43.3 peratus perbelanjaan pembangunan.
“Lima teras dicadangkan bagi menjayakan belanjawan tersebut termasuk kecerdasan buatan dan pendidikan pemangkin kemajuan ekonomi negeri, mendukung hasrat alam sekitar mampan dan infrastruktur serta memupuk negeri penyayang.
“Selain itu, menjuarai tadbir urus cekap dan wibawa serta membugar ekonomi kebudayaan dan pembangunan generasi muda,” katanya dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2025 di Dewan Negeri Selangor pada Jumaat.
Tambahnya, perbelanjaan Perkhidmatan dan Bekalan (Objek Am 20000) adalah komponen terbesar merangkumi 38.7 peratus daripada perbelanjaan Mengurus Kerajaan Negeri.
Jelasnya lagi, jumlah ini termasuk antaranya pelarasan kenaikan skim gaji penjawat awam, khidmat kawalan keselamatan dan kontrak penyelenggaraan melibatkan 26 jabatan.
“Turut termasuk elaun Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), peruntukan bagi Elaun Jawatankuasa dan petugas masjid serta sewaan bangunan ibu pejabat dan sembilan Mahkamah Rendah Syariah,” katanya.
Amirudin berkata, anggaran belanja pembangunan tahun 2025 akan memberi tumpuan lebih terhadap sektor infrastruktur berbanding sektor sosial.
“Kenaikan peruntukan sektor infrastruktur merangkumi 31.09 peratus daripada peruntukan pembangunan dengan nilai RM404.17 juta.
“Ia memfokuskan kepada kerja-kerja menaik taraf infrastruktur bagi menyokong keterjaminan bekalan air bersih, pengurusan sisa pepejal yang lebih efisien, naik taraf infrastruktur jalan raya dan saliran.
“Sebahagian lagi bagi promosi Tahun Melawat Selangor 2025 serta persediaan penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) Tahun 2026,” katanya lagi.
Dalam pada itu, katanya, Selangor merekodkan purata pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 7.43 peratus melebihi sasaran purata KDNK bagi tempoh 2021 hingga 2025 yang telah ditetapkan dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) iaitu 6.5 hingga 7 peratus untuk tempoh 2021 hingga 2023.
“Kejayaan ini menjadi asbab RS-1 akan disambung kepada RS-2 bagi tempoh 2026 hingga 2030. Antara sasaran utamanya ingin dicapai adalah mengekalkan Selangor sebagai peneraju ekonomi negara dengan meningkatkan lagi nilai sumbangan KDNK negeri dan negara,” katanya.
Baca juga: