Ulasan | Kenapa orang miskin pertahankan orang kaya?

Oleh: Norman Radzuan

KAPITALIS dan agamawan bekerjasama buli orang miskin. Sudah acapkali saya gunakan foto ini mengenai ‘pembulian’ golongan kapitalis yg bersekongkol dgn politikus dan didokong oleh agamawan politik.

Anda boleh lihat ketika ini bagaimana ia benar-benar berlaku. Ketika Kerajaan Madani sedang melakukan subsidi bersasar yang selama ini menguntungkan kapitalis atau golongan Mahakaya, orang miskin atau B40 yang membela orang kaya dengan memaki hamun kerajaan saban hari.

Sedangkan tujuan subsidi bersasar ialah subsidi itu mahu diberikan kepada golongan miskin. Nampak atau tidak bagaimana kapitalis dan para agamawan sedang ‘membuli’ atau bahasa kasarnya memperbodohkan kelompok B40 ini.

Golongan Mahakaya ini mengambil sikap tenang tetapi menggunakan politikus untuk memainkan persepsi mengajak golongan B40 membela mereka tanpa perlu mereka yang bersuara. Orang miskin dijadikan benteng untuk mempertahankan hak mereka.

Seperti foto di atas, kelompok Mahakaya ini berseronok bersosial dan yeng memikul mereka adalah kelompok B40. Kenapa B40 ini sanggup diperbodohkan begitu rupa? Ini kerana rata-rata pendidikan mereka agak lemah. Kurang daya intelektual untuk berfikiran kritis bagi mengelakkan diri mereka diperhambakan.

Apa isu sebenar?

Cuba kita lihat sentimen yang dimainkan oleh jadong (bodoh sombong) dan puak agama sebagai orang suruhan golongan Mahakaya ini.

Jadong menghasut golongan B40 menyerang kerajaan…”Orang kaya berdosa hidup di zaman Anwar.”

– Sedangkan isu sebenar orang kaya yang mengambil kesempatan subsidi yang diberikan kerajaan.

– Orang kaya yang tidak mahu membayar cukai

– Orang kaya yang menghidupkan budaya korupsi bersama politikus.

Bila Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan undang-undang. Mereka hasut golongan B40 dengan kata-kata Kerajaan bertindak kejam, Kerajaan mengenakan hukuman terpilih dan mereka difitnah, golongan B40 diusung ke mahkamah sebagai perang psikologi kononnya mereka menjadi mangsa dendam.

Apabila kerajaan mengambil tindakan kepada peniaga-peniaga haram yang mana lesen perniagaan disewakan kepada bangsa asing, mereka mula memainkan sentimen bangsa kononnya Melayu ditindas.

Kerajaan kejam kerana mengganggu peniaga kecil berbangsa Melayu. Sedangkan kartel-kartel tertentu membuat keuntungan ratusan ribu dengan menyewa tapak-tapak haram di sekitar Chow Kit.

Mereka play victim kononnya notis hanya dalam 24 jam.

Semua salah DAP?

Sebenarnya ramai peniaga-peniaga kecil yang melahirkan rasa kecewa dengan keadaan sebelum itu. Ini kerana mereka terpaksa menyewa premis dengan harga ribuan ringgit tetapi warga asing boleh berniaga di mana-mana sahaja di lokasi yang strategi tanpa lesen.

Bila tindakan kepada agamawan yang dilarang berceramah kerana tiada tauliah dari Jabatan Agama Negeri, kelompok agama ini memainkan sentimen agama dengan ayat-ayat al-Quran kononnya kerajaan ini zalim dan menghina agama. Agamawan selebriti ini marah sebab periuk nasi mereka untuk bermewah-mewah bukannya kerana agama.

Kami dianiaya hanya untuk menyampaikan dakwah, Islam terancam di zaman kerajaan Madani dan Kerajaan ini mengikut kata Cina DAP

Ini adalah sebahagian kecil antara hasutan-hasutan kelompok kapitalis, politikus dan agamawan yang membuli serta membodohkan bangsanya sendiri hanya untuk kesenangan peribadi.

Mereka tahu jika tidak bersatu memperbodohkan golongan bawahan (kelompok B40 atau miskin tegar) yang kini menjadi benteng mereka, mereka akan jatuh.

Teguran saya bukan bersifat serangan peribadi kepada golongan agama ini tetapi terhadap pemikiran mereka yang telah merosakkan pemikiran orang Melayu. Orang Melayu terus menjadi hamba kerana otak mereka telah dipajak atas nama agama.

Cuba fahami kata ulama besar dunia Melayu, Hamzah Fansuri, “Apabila ilmu yang benar itu sampai ke dada mereka yang dungu, ianya menjadi racun yang amat berbisa.”

Apatah lagi jika ilmu itu dipesongkan kepada mereka yang dungu, mereka akan menjadi taksub hingga sanggup meminumkan air kaki dan tidak boleh berfikir dengan akal yang waras.

Akhirnya kita menjadi hairan bin ajaib… kenapa orang miskin yang mempertahankan hak orang kaya dan bukannya orang kaya membela hak orang miskin.


*** Penulis adalah bekas pengamal media dan kini menganalisis senario politik tanah air

Anda Mungkin Berminat