Oleh: Syahirah Harish
PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghadiri Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20) di Rio de Janeiro, Brazil, dari 16 hingga 19 November 2024.
Lawatan kerja ini dilakukan atas jemputan Presiden Republik Persekutuan Brazil, Luiz InĂ¡cio Lula da Silva bagi memperkukuh hubungan diplomatik dan kerjasama antara kedua-dua negara.
Perdana Menteri akan diiringi oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Luar Negeri, kehadiran Malaysia di sidang ini turut mencerminkan komitmen negara terhadap usaha keberlangsungan dan reformasi tadbir urus global.
Sidang Kemuncak G20 kali ini memberi penekanan kepada isu penting seperti alam sekitar, perubahan iklim dan bioekonomi melalui inisiatif seperti Environment and Climate Sustainability Working Group (ECSWG) dan G20 Initiative on Bioeconomy (GIB).
“Semasa Sidang Kemuncak Pemimpin G20, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dijadualkan menyampaikan kenyataan negara dalam sesi ‘Fight Against Hunger and Poverty’ dan ‘Reform of Global Governance Institutions’,” kata kenyataan itu.
Di sela-sela Sidang Kemuncak G20, Anwar juga dijangka mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin negara anggota G20 untuk membincangkan isu-isu dua hala dan pelbagai hala yang berkepentingan bersama.
Selain itu, kenyataan itu berkata, Anwar dijangka akan bertemu Presiden Brazil untuk membincangkan peluang kerjasama dalam sektor minyak dan gas, teknologi hijau serta industri makanan halal.
Tambahnya, lawatan ini turut memberi peluang untuk memperkukuh hubungan dua hala, terutamanya menjelang tahun 2025 apabila Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN dan Brazil memimpin BRICS.
Baca juga: