KUALA LUMPUR: Dunia seni tanah air kehilangan satu lagi permata berharga apabila komposer tersohor, S Atan atau nama sebenarnya Datuk Hashim Said, menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 75 tahun akibat sesak nafas.
Beliau meninggal dunia sekitar pukul 3.23 petang di kediamannya di Kajang, Selangor.
Berita pemergian komposer terkenal itu disahkan sendiri oleh isterinya, Datin Norizan Yeob.
“Sebelum ini dia ada menerima rawatan di hospital pada 16 Oktober lalu dan ditahan di wad selama lima hari akibat masalah sama,” katanya memetik laporan media tempatan.
Sebagai seorang komposer asal Singapura, S Atan dikenali menerusi lagu-lagu raya ikonik seperti; Menjelang Hari Raya, Dari Jauh Ku Pohon Maaf, Balik Kampung, Cahaya Aidilfitri dan Indahnya Beraya Di Desa.
Karya-karya beliau telah menjadi sebahagian daripada nostalgia dan warisan budaya masyarakat Malaysia.
Setelah lima dekad menyumbang kepada industri hiburan tanah air, S Atan dianugerahkan Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM), membawa gelaran Datuk pada sambutan Hari Jadi Ke-74 Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam pada Ogos 2023.
Baru-baru ini, beliau turut menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat di Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-36 (ABPBH36) pada 11 Oktober 2024 sebagai penghargaan atas sumbangan cemerlang beliau dalam penciptaan lagu dan muzik Melayu.
Pemergian S Atan meninggalkan kesan mendalam kepada industri seni negara.
Karya-karya beliau akan terus dikenang dan menjadi inspirasi kepada generasi masa depan.
Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang beriman.
Baca lagi.