DUA bom kilat dilepaskan ke arah rumah Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di bandar Caesarea di utara Israel pada Sabtu dan jatuh ke dalam taman, kata polis.
Memetik laporan Reuters, bagaimanapun, Netanyahu dan juga keluarganya tidak berada di rumah semasa kejadian itu berlaku.
Menteri Pertahanan Israel, Katz berkata, insiden itu melintasi semua garis merah.
“Tidak mungkin Perdana Menteri Israel, yang diancam oleh Iran dan proksinya yang cuba membunuhnya, tertakluk kepada ancaman yang sama dari rumah,” kata Katz.
Beliau juga menggesa agensi keselamatan dan kehakiman mengambil langkah yang perlu.
Presiden Israel, Isaac Herzog mengecam insiden itu dalam satu hantaran di X dan berkata siasatan sedang dijalankan.
“Hasutan terhadap Benjamin Netanyahu merentasi semua sempadan. Melemparkan bom kilat ke rumahnya malam ini melintasi satu lagi garis merah,” kata Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir di platform X.
Pada 19 Oktober lalu, serangan dron turut menyasarkan kediaman sama yang didakwa dilakukan oleh kumpulan Hizbullah.
Ketika itu, Netanyahu menuduh Hizbullah cuba membunuh beliau dan isterinya.