Oleh: Hanim Nadia
SKUAD Harimau Malaya akan menguji pasukan di ranking ke-125 dunia, India pada aksi Perlawanan Antarabangsa Tier 1 yang akan berlangsung malam esok di Stadium Gachibowli, Hyderabad.
Perlawanan itu memberikan peluang terbaik untuk skuad bimbingan Pau Marti Vicente yang menduduki tangga ke-133 dunia mengutip mata ranking memandangkan ia berlangsung dalam Kalendar Antarabangsa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dari 11 hingga 19 November.
Menerusi hantaran Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di Facebook pada Ahad, skuad Harimau Malaya telah selamat tiba di Hyderabad, India, awal pagi tadi selepas penerbangan selama tiga jam 30 minit dari Bangkok, Thailand.
Terdahulu, skuad negara berjaya meraih kemenangan 3-1 ke atas Laos pada perlawanan yang berlangsung di Stadium PAT, Bangkok tempoh hari hasil jaringan Harith Haiqal Adam Afkar, Stuart Wilkin dan Sergio Aguero.
Bagaimanapun, Harimau Malaya dilihat tempang untuk beraksi malam esok selepas tiga pemain iaitu Matthew Davies, Feroz Baharudin dan Arif Aiman Hanapi dipanggil pulang oleh kelab mereka Johor Darul Ta’zim (JDT).
Ini kerana, JDT bakal berdepan KL Rovers dalam perlawanan pertama Pusingan 16, Piala Malaysia pada 20 November.
Menurut kenyataan FAM pada Sabtu, trio JDT itu diberikan pelepasan setelah kelab gergasi tanah air itu membuat permohonan.
Melihatkan kepada perkembangan terkini tersebut, hanya penjaga gol JDT, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed akan terus bersama skuad kebangsaan bagi memburu tambahan mata dalam pungutan ranking dunia.
“Daripada 26 pemain yang bersama skuad Harimau Malaya ke Bangkok, Thailand bagi Perlawanan Antarabangsa Tier 1 pertama menentang Laos pada Khamis, 14 November 2024, hanya 23 pemain yang akan dibawa ke Hyderabad, India bagi Perlawanan Antarabangsa Tier 1 kedua bertemu India pada Isnin, 18 November 2024,” kata FAM.
Baca juga: