Juruteknik ‘putih mata’, wang dilabur hampir RM1 juta lebur

PETALING JAYA: Seorang juruteknik syarikat carigali berputih mata apabila kerugian RM908,305 akibat terpedaya dengan pelaburan secara dalam talian.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, lelaki berusia 48 tahun itu membuat laporan polis pada 16 November selepas menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan pelaburan tersebut sejak Ogos 2024.

Beliau berkata, pada awalnya, semasa di tempat kerja di Iraq, mangsa telah menerima mesej menerusi aplikasi Whatsapp dari individu yang menjanjikan keuntungan tinggi dalam pelaburan menerusi satu aplikasi, dalam tempoh satu jam.

“Tertarik dengan keuntungan itu, mangsa telah memuat turun aplikasi yang diarahkan dan membuat pendaftaran.

“Mangsa juga mengikuti kelas secara atas talian di pautan diberikan suspek yang menjelaskan mengenai cara untuk melabur dan memperoleh keuntungan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurut Kumar, pada pertengahan September hingga November 2024, mangsa yang ketika itu berada di Kota Tinggi, Johor telah membuat bayaran secara atas talian ke beberapa akaun bank berbeza seperti diarahkan sehingga jumlah RM908,305.

Bagaimanapun, mangsa menyedari ditipu selepas gagal untuk membuat pengeluaran wang keuntungan berjumlah RM8 juta dalam aplikasi tersebut dan diminta membuat bayaran lain.

“Mangsa telah diarahkan untuk membuat bayaran sebanyak RM100,000 sebagai wang deposit. Namun, mangsa tidak berbuat demikian selepas menyedari ditipu,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Kumar juga menasihatkan orang ramai lebih berwaspada dan tidak mudah terpedaya sebarang tawaran pelaburan di media sosial dan dalam talian yang menjanjikan pulangan tinggi dengan mudah dalam masa singkat.

“Orang ramai juga dikehendaki lebih cakna dan mengambil tahu trend semasa jenayah komersial bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan,” tambahnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat