Operasi JPJ turut tahan PATI, individu positif dadah

KUALA LUMPUR: Sebanyak 73 motosikal disita dan 1,353 notis kesalahan dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) dalam tiga operasi sepadu motosikal di beberapa lokasi strategik.

Dalam satu kenyataan, operasi tersebut memfokuskan kepada pengubahsuaian ekstrem pada motosikal yang boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya.

“… operasi pertama dan kedua dijalankan pada 15 November 2024, bermula jam 3 petang hingga tengah malam di Plaza Tol Sentul Pasar dan Plaza Tol Pantai Dalam.

“Antara kesalahan yang dikesan ialah pengubahsuaian ekstrem pada motosikal, termasuk pengubahsuaian chasis, struktur motosikal diubah sehingga menjejaskan kestabilan dan keselamatan.

“Ekzos tidak mengikut spesifikasi, Ekzos ‘aftermarket’ yang menghasilkan bunyi terlalu kuat melebihi had dibenarkan.

“Nombor plat tidak sah, plat yang tidak mematuhi piawaian, termasuk saiz dan reka bentuk yang sukar dibaca dan tayar tidak mengikut spesifikasi, penggunaan tayar kecil atau haus yang berisiko menyebabkan kemalangan,” katanya menerusi Facebook pada Ahad.

Operasi itu turut mengesan ada pemandu yang tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, dan tiada perlindungan insurans, yang melanggar Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Operasi itu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menjalankan tiga operasi sepadu motosikal di beberapa lokasi strategik.

Dalam pada itu, pihak JIM telah mengambil tindakan ke atas 19 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari pelbagai negara, termasuk Indonesia (9), Bangladesh (3), dan India (4).

Manakala, AADK pula melaporkan 16 individu positif dadah, termasuk 13 kes Methamphetamine dan 3 kes ganja, hasil saringan terhadap 141 individu. JSPT pula mengeluarkan 134 notis kesalahan lalu lintas kepada pengguna jalan raya yang melanggar pelbagai peraturan.

Operasi diteruskan di Plaza Tol Gombak pada 16 November bermula 6 pagi dalam skala lebih kecil dengan 42 kenderaan diperiksa dan 104 notis kesalahan dikeluarkan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat