PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad diperintahkan membela diri terhadap tiga tuduhan rasuah RM2.8 juta.
Kes rasuah ini berkaitan pelaburan RM150 juta FELCRA dalam unit amanah Public Mutual Berhad.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim memutuskan demikian secara sebulat suara selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan.
Beliau yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Noorin Badaruddin mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 7 September tahun lalu yang melepas dan membebaskan mereka daripada pertuduhan masing-masing.
Koram berkenaan mengembalikan keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur yang memerintahkan mereka membela diri bagi ketiga-tiga pertuduhan.
Panel itu kemudian menetapkan 5 Disember ini bagi sebutan kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Pada 7 September tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan pasangan itu untuk membatalkan keputusan mahkamah rendah yang mengarahkan mereka membela diri atas pertuduhan.
Ia berikutan Hakim, Datuk Azhar Abdul Hamid membenarkan permohonan mereka untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen pada 2 September 2022 yang memerintahkan mereka membela diri.
Mengikut pertuduhan pertama, pada 3 Mei 2019, Bung yang ketika itu merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid melalui Zizie Izette.
Beliau dituduh melakukan perbuatan itu sebagai upah bagi mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk Felcra membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati, No. 262-265, Jalan Bandar 12, Taman Melawati antara 12.30 tengah hari dan 5 petang, 12 Jun 2015.
Bagi pertuduhan kedua, Bung didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM262,500 daripada individu sama, melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan serupa.
Bung juga dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Norhaili Ahmad Mokhtar melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan yang sama.
Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di lokasi sama pada 12.16 tengah hari dan 12.28 tengah hari, pada 19 Jun 2015.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Subseksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Zizie Izette mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama, di tempat, tarikh dan masa serupa mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPR dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 24(1) akta sama.
Ia membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.