Oleh: Hanim Nadia
PARLIMEN | Kerajaan akan memastikan kanak-kanak GISBH Holdings tidak terabai dan mendapat kehidupan normal.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata, kerajaan menyokong penuh pendirian Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPKM) untuk mengembalikan kanak-kanak GISBH kepada ibu bapa dan keluarga mereka.
Langkah lain dalam tindakan kerajaan, katanya, adalah modul rehab, pemantauan perkembangan berkala dan kerjasama komuniti setempat serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Menurutnya, pemantauan perkembangan kanak-kanak berkenaan secara berkala menerusi penglibatan dan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), selain pakar pedagogi, psikologi dan akidah akan diteruskan.
“Mengambil kira kesan trauma jangka panjang kanak-kanak, kerajaan juga melaksana modul rehabilitasi GISBH, merangkumi pemulihan akidah, kaunseling, kenegaraan, pendidikan dan latihan kemahiran.
“Kerjasama komuniti setempat dan NGO juga perlu dilibatkan untuk mewujudkan sokongan sosial yang kukuh untuk kanak-kanak berkenaan,” katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.
Menjawab soalan asal dan soalan tambahan Ahli Parlimen Kangar, Zakri Hassan, Mohd Na’im berkata, kerajaan berpandangan isu GISBH amat perlu diperjelas dan disebar luaskan kepada masyarakat.
Ia bagi memastikan tidak timbul salah faham terhadap tindakan yang diambil ke atas entiti itu.
Di samping itu, beliau berkata, kefahaman yang baik membolehkan masyarakat menjadi sistem sokongan kepada ahli GISBH yang ingin keluar daripada belenggu ideologi sesat berkenaan.
“JAKIM juga akan terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan akidah dan pegangan umat Islam secara keseluruhannya, termasuklah ahli-ahli GISBH.
“Ia melalui pembudayaan ilmu dan pentarbiahan yang komprehensif dan berkesan dengan kerjasama Majlis Agama Islam negeri dan Jabatan Agama Islam negeri serta agensi berkaitan lain,” katanya.
Minggu lalu, Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) minggu lalu memutuskan ajaran, fahaman dan pegangan ahli GISBH adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.
Pengerusi MKI, Datuk Nooh Gadut menerusi satu kenyataan pada 14 November, memaklumkan mesyuarat jawatankuasa itu pada 24 hingga 26 September, yakin dan berpuas hati dengan hujah serta fakta dikemukakan penyelidik mengenai GISBH.