KPWKM: 11 taska OKU akan diwujudkan

Oleh: Hanim Nadia

PARLIMEN | Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dengan kerjasama Pertubuhan Sukarelawan Kebajikan (PSK) akan menubuhkan sebanyak 11 buah taska khusus untuk kanak-kanak orang kurang upaya (OKU).

Menteri KPWKM, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, taska tersebut akan menumpukan kepada kanak-kanak OKU yang menghidapi pelbagai keadaan seperti sindrom down, autisme, masalah penglihatan, pendengaran, fizikal dan pembelajaran.

“Sebagai galakan dan sokongan kepada lebih ramai pihak serta PSK dalam menubuhkan dan mengoperasikan taska OKU di seluruh negara, KPWKM melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan bantuan kewangan kepada pengusaha taska OKU.

“Bantuan tersebut termasuk Bantuan Kewangan Penubuhan sebanyak RM500,000 dan Bantuan Kewangan Operasi,” katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Alias Razak (PN-Kuala Nerus) yang meminta Menteri KPWKM menyatakan perancangan Kementerian bagi meningkatkan bilangan pusat autisme dan sejauh mana bantuan serta insentif yang diberikan kepada pengusaha swasta.

Nancy turut berkongsi pencapaian KPWKM setakat September, yang mana sebanyak RM137.4 juta telah disalurkan bagi Program Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK).

Program berkenaan memberi manfaat kepada 19,907 OKU di 573 PPDK di seluruh negara.

Dalam pada itu, Nancy berkata, jumlah pusat jagaan OKU autisme di negara ketika ini tidak mencukupi susulan jumlah golongan itu yang tinggi.

Katanya, sehingga 31 Oktober 2024, negara mempunyai 33 buah pusat jagaan yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), manakala jumlah OKU Autisme yang berdaftar adalah seramai 65,191 orang.

Justeru, katanya, Kerajaan melaksanakan beberapa inisiatif bagi merapatkan jurang penawaran dan permintaan terhadap perkhidmatan serta sokongan kepada autisme, termasuk bekerjasama dengan komuniti serta badan-badan Pertubuhan Sukarelawan Kebajikan (PSK).

Antaranya, satu Program Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) ditubuhkan dan sebanyak 573 buah PDK sedang beroperasi di seluruh negara.

Selain itu, semua pelatih OKU juga mendapat elaun di PDK sebanyak RM300 sebulan.

“Sehingga September tahun ini, sebanyak RM137.4 juta bantuan kewangan telah disalurkan demi manfaat kesemua PDK di seluruh negara,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat