Oleh: Hanim Nadia
PARLIMEN | Sebanyak 131,036 panggilan daripada orang ramai diterima Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) antara Oktober 2022 hingga September lalu yang melaporkan berkenaan sindiket penipuan wang dalam talian.
Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran, daripada jumlah itu, sebanyak 52,836 panggilan merupakan daripada mangsa dengan jumlah kerugian RM302.1 juta.
“Selain itu, sebanyak 103,557 akaun bank telah dikesan sebagai akaun keldai yang digunakan sindiket penipuan dalam talian untuk memindahkan wang mangsa.
“Bagi menangani jenayah penipuan dalam talian itu, kerajaan telah meminda Akta 574 dan Akta 593 dengan memberikan kuasa kepada polis untuk menyita wang yang disyaki terlibat dalam kegiatan jenayah yang disimpan dalam apa-apa institusi kewangan,” katanya pada sesi pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Isnin.

Mengulas lanjut, katanya, Akta 593 misalnya telah memasukkan peruntukan baharu iaitu Seksyen 116D untuk memberi polis yang berpangkat tidak rendah daripada sarjan untuk menyita atau melarang urusan dalam apa-apa wang yang dipegang dan disyaki untuk dipegang dalam mana-mana instrumen pembayaran atau mana-mana akaun di institusi kewangan.
“Pindaan ini membolehkan pihak polis untuk tidak hanya menyita tetapi untuk menghalang harta tersebut dibuat urusniaga lain dengan tujuan untuk menghalang duit mangsa online scams dikeluarkan daripada ‘mule account’.
“Ini seterusnya akan melengkapi peruntukan sedia ada iaitu Seksyen 435 Akta 593 berkenaan kuasa polis untuk menyita harta yang disyaki telah dicuri (termasuk penipuan) yang lebih menjurus kepada harta fizikal,” tambahnya.

Kulasegaran menjawab soalan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng yang bertanyakan bila kerajaan akan memperkenalkan undang-undang yang memberi kuasa kepada polis atau bank untuk menyekat sementara urus niaga perbankan bagi individu yang menjadi sasaran penipuan tetapi enggan mempercayai mereka sedang diperdaya.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Lip Eng berkenaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Keselamatan Dalam Talian, Kulasegaran berkata, RUU tersebut dijangka dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat.