PM lantik empat individu baharu anggotai SPK

Oleh: Kamilia Ali

PETALING JAYA: Empat individu dilantik sebagai ahli baharu Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) untuk tempoh dua tahun bermula 1 November lalu.

Individu-individu yang dilantik termasuk bekas Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun; bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Zainun Ali; bekas Hakim Besar Sarawak, Datuk Seri Talat Mahmood Abdul Rashid serta Pensyarah Undang-Undang Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Madya Dr. Hartini Saripan.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Setiausaha SPK, pelantikan ini adalah bagi tempoh dua (2) tahun berkuat kuasa mulai 1 November 2024 hingga 31 Oktober 2026.

Jelasnya, pelantikan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim itu dibuat berdasarkan Seksyen 5(1)(f) Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009.

“Ia bertujuan bagi menggantikan Md Raus Sharif, Suriyadi Halim Omar, Abdul Razak Tready dan Profesor Shamrahayu Ab Aziz dilantik sebagai anggota SPK yang tamat tempoh pada 3 September.

“SPK merakamkan penghargaan dan terima kasih atas perkhidmatan dan sumbangan anggota SPK terdahulu,” katanya.

Anda Mungkin Berminat