Ariff Aiman, Tommy digantung tiga perlawanan

Oleh: Hanim Nadia

PEMAIN Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi dan pemain Perak FC, Tommy Mawat Bada digantung tiga perlawanan susulan isu pergaduhan baru-baru ini.

Masing-masing digantung kerana bertumbuk pada perlawanan Liga Super antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Perak FC pada 10 November lalu.

Ia menyaksikan kedua-dua pemain mendapat hukuman tambahan meskipun mereka sekadar dilayangkan kad kuning oleh pengadil, Razlan Joffri Ali susulan insiden yang tercetus pada minit ke-83.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Dr Baljit Singh Sidhu juga memaklumkan, kedua-dua pemain itu diberikan amaran keras jika mengulangi kesalahan sama namun hukuman terbabit boleh dirayu.

Menerusi satu kenyataan media, FAM menjelaskan Arif Aiman dan Tommy didapati melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM iaitu kelakuan yang menyinggung dan ‘fair play’.

“Arif Aiman menumbuk di bahagian muka sebelah kiri Tommy pada perlawanan terbabit dan digantung tiga perlawanan membabitkan dua aksi pusingan 16 Piala Malaysia berdepan KL Rovers dan satu aksi Liga Super menentang KL City FC.

“Tommy pula menanduk kepala dan seterusnya mencengkam leher sebelah kiri Arif pada perlawanan itu dan digantung tiga perlawanan membabitkan dua aksi pusingan 16 Piala Malaysia menentang Kelantan Darul Naim FC dan satu aksi Liga Super berdepan Kedah Darul Aman FC,” kata Baljit.

Anda Mungkin Berminat