Budayakan lawatan mengejut para menteri – Maszlee

PETALING JAYA: Lawatan mengejut yang dilakukan oleh beberapa menteri seharusnya dijadikan budaya dan ikutan kepada pemimpin organisasi lain, kata Dr Maszlee Malik.

Menurutnya, perkara tersebut menjadi amalannya ketika beliau menjadi Menteri Pendidikan selama 20 bulan pada tahun 2018-2019.

“Ia merupakan lawatan mengejut pertama saya sebagai menteri dan MP (Ahli Parlimen) ke SK Simpang Renggam pada bulan Mei 2019.

“Alhamdulillah selepas lawatan tersebut dan gambar ikonik itu, berlumba PPD (Pejabat Pendidikan Daerah) dan JPN (Jabatan Pendidikan Negeri) ke sekolah berkenaan dan buat perubahan apa yang patut dilakukan berdekad lamanya,” katanya susulan gambar beliau dikongsikan kembali oleh Pensyarah universiti swasta, Dr Othman Talib.

Bagi Dr Maszlee, lawatan mengejut yang dilakukan hampir setiap minggu sama ada sekolah rendah atau menengah di seluruh negara akan memaparkan realiti sebenar dunia pendidikan.

“Lawatan mengejut jimatkan waktu para guru, jimatkan kos sambutan bagai, dan akan membuatkan semua pihak lebih bersedia dan bersikap lebih natural. Tiada kosmetik dan lakonan yang boleh dipersembahkan sewaktu lawatan mengejut.

“Saya yakin sekarang ini pun ramai menteri-menteri yang buat lawatan mengejut ke institusi di bawah kementerian masing-masing. Ia perlu dijadikan budaya agar kita dapat pertingkatkan kualiti perkhidmatan kerajaan dari semasa ke semasa,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut memuji kecekapan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang kerap membuat lawatan mengejut ke atas hospital-hospital dan terbaharu Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang meronda Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) demi penambahbaikan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat