‘Istana Pahang beri sokongan sebelum saya bergelar artis’ – Siti Nurhaliza

PENYANYI tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza melahirkan rasa penghargaan dan menjunjung kasih kepada Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di atas ucapan tahniah dan sokongan mereka terhadap beliau sejak zaman persekolahan.

“Patik menjunjung kasih Tuanku dan kerabat-kerabat diraja Pahang yang telah memberi kepercayaan, peluang dan sokongan kepada patik sejak di bangku sekolah iaitu sebelum patik bergelar artis,” kata Siti Nurhaliza menerusi satu hantaran.

Beliau turut menghargai sokongan yang berterusan dari Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan kerabat diraja Pahang yang sentiasa memberi peluang kepadanya untuk mengadakan persembahan.

Menurutnya, pengiktirafan sebagai Biduanita Negara merupakan satu amanah bagi dirinya untuk menjaga, memelihara dan memartabatkan seni warisan yang menjadi lambang jiwa serta budaya bangsa.

“Sebagai anak Pahang, patik berharap dapat memberikan suntikan semangat dan inspirasi kepada masyarakat di negeri ini untuk terus berjaya dalam apa juga lapangan yang diceburi,” ujarnya.

Terdahulu, Siti Nurhaliza dinobatkan sebagai Biduanita Negara selepas menerima Anugerah Khas Biduan Negara.

Beliau menerima anugerah itu dalam majlis penuh gilang-gemilang, Anugerah Seni Negara (ASN) 2024 yang dianjurkan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Selaku penerima Anugerah Khas Anugerah Seni Negara (ASN) 2024: Biduan Negara, beliau menerima wang tunai RM30,000, kain songket, watikah serta trofi dan status sebagai Seniman Tamu.

Siti Nurhaliza merupakan individu keempat yang diberikan anugerah berprestij itu, selepas Allahyarham Saloma pada tahun 1978, Allahyarham Datuk Sharifah Aini pada 2006 dan Allahyarham Tan Sri SM Salim pada 2013.

Anda Mungkin Berminat