Oleh: Hanim Nadia
PARLIMEN: Penggantungan Perlembagaan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) awal bulan lalu tidak menjejaskan operasi, obligasi dan kewajipannya kepada mana-mana pihak ketiga.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu memberi jaminan bahawa pengoperasian NAFAS akan diteruskan oleh pihak pentadbir.
“Bagi urusan perniagaan NAFAS yang melibatkan pembekalan baja padi kepada pesawah, ia langsung tidak terjejas dan berjalan seperti biasa di bawah bidang kuasa Pentadbir NAFAS,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau berkata, tempoh penggantungan NAFAS bergantung kepada saranan yang akan dikemukakan oleh jawatankuasa tata kelola yang dilantik.
“Jawatankuasa tata kelola itu akan memastikan semua isu yang membelenggu NAFAS berjaya diselesaikan dan agensi terbabit kembali berada pada landasan yang betul,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa Pendaftar Pertubuhan Peladang akan memantau urusan harian NAFAS sepanjang tempoh penggantungan itu, di samping menambah baik tadbir urus dan tata kelola NAFAS bagi memperkasa semula agensi tersebut secara holistik.
Menjawab soalan tambahan Sim Tze Tzin mengenai tempoh penggantungan NAFAS, Mohamad berkata, jawatankuasa tata kelola sedang berusaha menyelesaikan isu-isu berkaitan dan penggantungan akan diangkat semula bersama pindaan-pindaan di bawah kuasa kementerian dan Menteri, dengan nasihat daripada penasihat undang-undang dalaman serta pandangan daripada Pejabat Peguam Negara.
Sementara itu, siasatan lanjut mengenai dakwaan penyelewengan dalam NAFAS sedang berjalan termasuk yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Kita tidak mahu tuduh-menuduh dan jangan menunding jari kepada sesiapa. Yang penting kita minta SPRM siasat dan kita sedia beri kerjasama,” kata Mohamad.
Untuk info, penggantungan NAFAS bermula pada 1 November lalu di bawah Seksyen 20(1) Akta Pertubuhan Peladang 1973 (Akta 109).
Ia susulan siasatan SPRM berhubung kewujudan kartel dalam pengagihan dan perbekalan kontrak baja padi di sebuah pertubuhan di bawah kawalan sebuah kementerian yang dianggarkan bernilai RM1.8 bilion.