PETALING JAYA: Bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu berhubung tuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta.
Harta berkenaan termasuk beberapa kenderaan mewah, syarikat dan hartanah di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.
Hakim Azura Alwi membuat perintah itu mengikut Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah.
“Mahkamah dengan ini memerintahkan Allahyarham Tun Daim dilepaskan dan dibebaskan,” katanya dalam laporan media tempatan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan kepada Mahkamah Sesyen bahawa pihaknya tidak meneruskan prosiding terhadap Allahyarham Daim susulan kematiannya.
“Kami dengan ini mengikut Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah, tidak berniat meneruskan prosiding terhadap Allahyarham Tun Daim kerana tertuduh telah meninggal dunia,” katanya.
Pada 29 Januari lalu, Daim mengaku tidak bersalah atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta.
Isterinya, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid pula didakwa pada 23 Januari lalu atas satu pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan.
Pada Selasa, Naiāmah menggesa pendakwaan supaya meneruskan kes itu supaya peguam pembelaan dapat membantu membersihkan nama arwah suaminya di mahkamah.
Pada 13 November lalu, hartawan berusia 86 tahun itu meninggal dunia di Hospital Assunta selepas dimasukkan ke unit rawatan rapi kerana angin ahmar.