PETALING JAYA: Peranan mahasiswa Institut Pengajian Tinggi (IPT) akan terus diperkasa untuk meningkatkan advokasi kepenggunaan dalam masyarakat.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerusi satu kenyataan berkata, mengambil kira peranan penting mahasiswa dalam masyarakat, pihaknya menjadikan Gerakan Pengguna Siswa (GPS) sebagai rakan strategik dalam mengerakkan inisiatif Gerakan Membanteras Manipulasi dan Ketirisan (KITA GEMPUR).
“GPS berupaya menjadi wahana untuk menggerakkan partisipasi golongan mahasiswa dalam gerakan ini sekali gus memacu partisipasi awam yang merupakan salah satu komponen utama pelaksanaan melalui kerjasama strategi antara Kerajaan (K), Industri (I), Tatakelola (T) dan Awam (A),” kata Menteri KPDN, Datuk Armizan Ali.
Beliau sementara itu berkata, KPDN juga akan memperkukuh peranan GPS sebagai salah satu pemegang taruh dalam menggerakkan salah satu kefungsian utama KPDN iaitu agenda menangani isu kos sara hidup.
Antaranya, KPDN akan melibatkan GPS dalam proses penambahbaikan inisiatif sedia ada kementerian antaranya melalui pelaksanaan Program Jualan Rahmah Madani (PJRM)
“Selain kaedah-kaedah sedia ada, antara penambahbaikan yang telah digariskan adalah pelaksanaan kaedah baharu iaitu penganjuran PJRM@Kampus.
“Kaedah ini diputuskan dengan objektif untuk memperluaskan kumpulan sasar penerima manfaat kepada golongan mahasiswa yang memerlukan di institusi pengajian tinggi (IPT).
“Sehubungan itu, saya telah memberikan mandat kepada GPS untuk mengemukakan cadangan mekanisme pelaksanaan PJRM@Kampus khususnya jenis barangan yang wajar ditawarkan yang bersesuaian dengan keperluan golongan sasar dalam kalangan mahasiswa.
“KPDN menyasarkan untuk memulakan PJRM@Kampus bermula awal tahun hadapan secara berperingkat dan mengikut kesesuaian jadual IPT yang ingin terlibat,” tambahnya.
Armizan sementara itu memaklumkan, Kerajaan MADANI melalui Belanjawan 2025 mengumumkan peningkatan peruntukan bagi pelaksanaan inisiatif-inisiatif di bawah Payung Rahmah daripada RM200 juta kepada RM300 juta.
Sehubungan itu, KPDN sedang dalam proses memperkemas dan menambah baik inisiatif-inisiatif yang digariskan khususnya Program Jualan Rahmah Madani (PJRM). Ini termasuk aspek kaedah dan mekanisme pelaksanaan serta perluasan kumpulan sasar.