Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) adalah kerajaan yang gagal kerana hanya memerintah selama 17 bulan dan layak diberikan gred F, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi.
Malah dakwa Puad, sekiranya suara rakyat diambil kira, PN langsung tidak layak mendapat markah.
Puad berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang menyatakan bahawa Kerajaan MADANI berisiko mendapat gred lebih rendah daripada D seperti yang diberikan oleh BERSIH.
“Menurut Shahidan, kerajaan berisiko dapat gred lebih rendah jika suara rakyat diambil kira.
“Kalau guna suara rakyat, PN tidak dapat gred langsung. Mereka kalah teruk di Nenggiri dan Mahkota.
“Kerajaan PN adalah kerajaan gagal sebab itu boleh memerintah 17 bulan sahaja. Total F,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Khamis.
Terdahulu, BERSIH melaporkan bahawa Kerajaan MADANI mendapat markah D dalam penilaian selama dua tahun pentadbirannya yang berpunca daripada kegagalan melaksanakan janji reformasi.
Puad juga menegaskan bahawa penilaian BERSIH tidak boleh diterima pakai kerana ia merupakan badan bukan kerajaan (NGO) partisan, manakala Shahidan pula adalah ahli politik PN.
“Sekarang ini musim bagi gred. Tetapi semua itu hanya gred politik. BERSIH adalah NGO partisan dan bersikap selektif. Shahidan pula orang PN,” katanya lagi.