Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Suspek kes buli penuntut tahun satu Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang disyaki dipijak sehingga retak tulang rusuk dan tulang belakang akan dituduh di mahkamah esok.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata, pertuduhan akan dijalankan di Mahkamah Kuala Lumpur pada jam 9 pagi.
“Kertas siasatan sudah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara. Arahan untuk pertuduhan ke atas kes berkenaan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
“Sehingga kini seramai 16 saksi dipanggil bagi melengkapkan siasatan berhubung kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Pada 21 Oktober lalu, satu lagi kejadian buli dilaporkan di UPNM membabitkan penuntut tahun satu, sehari sebelum seorang penuntut tahun dua universiti berkenaan ditekap seterika oleh penuntut tahun empat.
Rusdi dilaporkan berkata, ketika kejadian, mangsa berada di tepi padang kawad setelah selesai sesi panggil nama.
“Mangsa berusia 19 tahun dilaporkan mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang akibat dipijak oleh seorang penuntut tahun tiga.
“Mangsa kini sedang mendapatkan rawatan di hospital berikutan kecederaan yang dialami,” katanya.
Baca juga: