PEJABAT Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan sokongan penuh terhadap Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant berkaitan tindakan mereka dalam perang Gaza.
Jurucakap PBB, Jeremy Laurence menegaskan bahawa pihaknya menghormati kebebasan dan kompetensi ICC di bawah Statut Rom.
“Kami menyokong penuh usahanya untuk meneruskan pertanggungjawaban terhadap jenayah antarabangsa yang paling serius,” kata Laurence.
Mahkamah Hague telah mengeluarkan waran tangkap atas jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah perang yang dilakukan dari 8 Oktober 2023 hingga 20 Mei 2024.
Mahkamah menemui alasan munasabah untuk mempercayai bahawa Netanyahu dan Gallant bertanggungjawab atas jenayah perang kelaparan sebagai kaedah peperangan serta jenayah terhadap kemanusiaan seperti pembunuhan, penganiayaan dan perbuatan tidak berperikemanusiaan lainnya.
Serangan genosid Israel ke atas Gaza baru-baru ini telah memasuki tahun kedua, mengakibatkan kira-kira 44,000 kematian rakyat Palestin dan kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Terbaru, dilaporkan White House menolak keputusan ICC untuk mengeluarkan waran tangkap untuk Netanyahu dan Gallant atas dakwaan jenayah kemanusiaan dan perang di Gaza.
“Amerika Syarikat (AS) secara asasnya menolak keputusan mahkamah (ICC) untuk mengeluarkan waran tangkap untuk pegawai kanan Israel.
“Kami tetap amat bimbang dengan sikap tergesa-gesa Pendakwa Raya untuk mendapatkan waran tangkap dan kesilapan proses yang yang membawa kepada keputusan ini,” kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara AS, lapor media antarabangsa.