Anwar dedah royalti lebih tinggi kepada 4 negeri pembangkang

Oleh: Syahirah Harish

KUALA LUMPUR: Empat negeri yang diterajui pembangkang, iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis telah menerima royalti lebih tinggi berbanding pentadbiran sebelum ini, dedah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menegaskan bahawa jumlah royalti yang diberikan adalah lebih tinggi, namun fakta ini kadang-kadang tidak sampai kepada rakyat kerana faktor politik.

“Bagi saya, kalau kita kumpulkan, lebih tinggi daripada jumlah royalti yang kita ambil.

“Tapi fakta itu, kadang-kadang tidak sampai di bawah,” kata Anwar dalam sesi TownHall sempena Majlis Perasmian Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Anwar turut menjelaskan bahawa beliau sentiasa mengutamakan perbincangan yang baik dengan Menteri Besar, termasuk dari negeri pembangkang untuk memastikan kepentingan rakyat tidak terjejas akibat perbezaan politik.

“Bagi saya ini soal kerja dan soal kerjasama dengan kerajaan negeri cukup jelas.

“Kalau negeri ambik sikap positif ia memudahkan kalau ambik sikap bengis ia akan mempersulitkan,” katanya.

Perdana Menteri turut menyeru agar semua pihak mengambil pendekatan positif dan mengenepikan perbezaan politik demi melancarkan pelaksanaan dasar serta projek yang memanfaatkan rakyat.

Anda Mungkin Berminat