Oleh: Syahirah Harish
KUALA LUMPUR: Malaysia terus memperkukuh kedudukannya di peringkat global dengan kepimpinan diplomasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menerima pengiktirafan di seluruh dunia.
Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar memuji pemikiran futuristik Perdana Menteri yang disifatkan beliau sebagai faktor utama dalam menarik perhatian syarikat gergasi seperti Google.
“Pemikiran futuristik Perdana Menteri terserlah apabila Naib Presiden Google, Karan Bhatia memuji usaha beliau dalam bidang kecerdasan buatan (AI).
“Google bersetuju melabur sebanyak AS$2 bilion di Malaysia, mencerminkan keyakinan terhadap kepimpinan dan potensi negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.
Shamsul Azri juga menekankan bahawa pendekatan diplomasi dan inovasi yang diterajui oleh Anwar tidak hanya mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam mata dunia tetapi turut meletakkan negara di landasan yang lebih kukuh untuk menjadi pemain penting dalam bidang teknologi global.