PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini membuka peluang kepada seluruh rakyat Malaysia untuk menyertai Pertandingan Reka Bentuk Pakaian Pancaragam PDRM dengan hadiah wang tunai RM5,000 untuk rekaan terbaik.
PDRM menerusi satu kenyataan berkata, pertandingan itu bertujuan untuk mencipta reka bentuk pakaian yang baru dan menarik untuk pasukan pancaragam PDRM.
“Pertandingan ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia dan penyertaan adalah percuma. Beberapa syarat telah ditetapkan, termasuk keaslian reka bentuk, merangkumi pakaian, seluar dan topi serta mengekalkan beberapa aksesori PDRM yang wajib.
“Reka bentuk yang dihantar mestilah signifikan dengan imej kepolisan dan setiap peserta hanya dibenarkan menghantar satu penyertaan sahaja.
“Kod warna atau ‘pantone’ juga perlu dinyatakan dalam reka bentuk yang merangkumi dua kategori pakaian iaitu Pegawai Kanan dan Pegawai Rendah Polis.
Tambahnya, rekaan terbaik akan menjadi hak cipta milik PDRM sepenuhnya dan PDRM berhak untuk mengubah rekaan tersebut.
Tarikh tutup penyertaan adalah pada 31 Disember 2024 dan penyertaan perlu dihantar melalui email kepada Pancaragam Pusat PDRM (pancaragam@rmp.gov.my).
Untuk maklumat lanjut, peserta boleh merujuk syarat pertandingan dan borang penyertaan yang disediakan oleh PDRM.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada Superintenden Mohd Syahmi Daim di talian 0195588400 atau ASP Mesmoro Edward di talian 0192978460.