Oleh: Syahirah Harish
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Kerajaan MADANI tidak akan melayan isu-isu picisan dan kenyataan hambar yang tidak membantu agenda pembangunan negara.
Dalam sesi TownHall sempena Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 di KLCC hari ini, beliau mengingatkan bahawa tumpuan kerajaan adalah kepada reformasi menyeluruh yang memerlukan komitmen semua pihak.
“Dalam beberapa perbincangan di Parlimen, kerajaan tidak terlalu melayani karenah picisan dan kenyataan-kenyataan hambar kerana itu tidak akan membantu,” katanya.
Anwar turut menjawab kritikan berhubung kos lawatannya ke lima negara baru-baru ini yang dijadikan isu besar oleh pihak tertentu.
“Saya baru-baru ini ke lima negara tentunya memakai pesawat MAS (Malaysia Airlines) dengan belanja tentu tinggi.
“Jadi kita anjurkan syarikat-syarikat swasta yang ada potensi sama ada melabur atau sedang melabur.
“Syarikat swasta seperti Proton, Petronas, Syarikat semikonduktor, Top Glove dan lain-lain, mereka menyertai rombongan dan membayar kos, itu pun jadi salah?” soalnya.
Jelas Anwar, usaha kerajaan dalam menjalankan tugas secara bersih sentiasa dikritik, sedangkan kesalahan besar seperti rasuah dan penyelewengan sering dibiarkan.
“Yang curi, yang rompak, yang sakau itu dipuja. Tapi, yang kita jalankan program cara bersih itu dicerca. Ini kita katakan zaman edan, zaman gila,” tambahnya.
Perdana Menteri juga memaklumkan bahawa kejayaan Malaysia diiktiraf bukan kerana individu tertentu tetapi kerana kestabilan dan pertumbuhan negara yang berterusan.
Program 2TM ini bertujuan menilai pencapaian dua tahun Kerajaan MADANI termasuk usaha reformasi perkhidmatan awam serta merangka langkah seterusnya untuk memastikan Malaysia terus maju secara mampan.