Ratusan pelarian tinggalkan Shujayea di Gaza


Oleh: Shafira Aziz

GAZA: Ratusan penduduk Palestin dari Shujayea, dekat sini terpaksa meninggalkan kediaman mereka selepas Israel mengeluarkan arahan pemindahan baru selepas serangan udara yang semakin teruk.

Dalam masa sehari sahaja, serangan itu telah mengorbankan sekurang-kurangnya 38 nyawa orang awam.

Selain itu, hospital di Gaza turut menjadi sasaran.

Pengarah Hospital Kamal Adwan, Dr Hussam Abu Safia, melaporkan bahawa serangan Israel telah menyasarkan secara langsung pintu masuk jabatan kecemasan serta kawasan hospital, mencederakan 12 kakitangan termasuk doktor dan jururawat.

“Serangan itu menambahkan tekanan terhadap sistem kesihatan Gaza, yang kini hampir lumpuh akibat kekurangan bahan bakar dan keperluan asas.

“Hospital di Gaza kini berada di ambang kehabisan bahan api dalam tempoh dua hari, memaksa perkhidmatan penting dihentikan,” katanya, lapor Al Jazeera pada Ahad.

Kemusnahan turut melibatkan Masjid al-Faruq di kem pelarian Nuseirat, yang rosak teruk akibat serangan udara Israel.

Dalam masa sama, kawasan utara Gaza terus menjadi sasaran serangan darat dan udara Israel, dengan alasan untuk menghentikan serangan pejuang Hamas.

Walaupun Israel menafikan dakwaan serangan terhadap Hospital Kamal Adwan, kenyataan daripada pihak berkuasa Palestin dan laporan saksi menunjukkan keadaan yang semakin memburuk di Gaza.

Sejak 7 Oktober 2023, tindakan ketenteraan Israel di Gaza telah mengakibatkan lebih 44,176 kematian dan 104,473 kecederaan, menurut laporan pihak kesihatan Palestin.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat