Tiga MoU fokus lawatan rasmi PM ke Korea Selatan


Oleh: Shafira Aziz

PETALING JAYA: Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Korea Selatan bermula hari ini hingga Selasa bertujuan memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan negara itu.

Dalam lawatan itu, Anwar akan menyaksikan pertukaran tiga Memorandum Persefahaman (MoU) penting, yang meliputi kerjasama pendidikan tinggi, kerjasama dalam pemerangkapan dan penyimpanan karbon serta pendekatan kerjasama di bawah Artikel 6, Perenggan 2 Perjanjian Paris.

Menerusi kenyataan Wisma Putra hari ini, tiga MOU itu dijangka akan memberi impak besar dalam memperkukuh sektor pendidikan dan kemampanan alam sekitar, di samping meningkatkan kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.

“MoU mengenai kerjasama pendidikan tinggi dijangka memberikan peluang untuk kedua-dua negara berkongsi kepakaran dalam bidang pengajian dan penyelidikan.

“Manakala, kerjasama dalam penyimpanan karbon dan perjanjian Paris pula membuktikan komitmen Malaysia dalam menangani perubahan iklim secara global,” kata kenyataan itu pada Ahad.

Selain itu, Anwar dijangka menghadiri Forum Perniagaan Malaysia-Korea Selatan dan berpeluang berbincang dengan pemimpin industri terkemuka dari kedua-dua negara.

Lawatan tersebut juga akan mengukuhkan lagi hubungan perdagangan yang telah terjalin, di mana jumlah dagangan antara Malaysia dan Korea Selatan pada 2024 telah mencatatkan angka yang menggalakkan, iaitu RM81.61 bilion dari Januari hingga September.

“Lawatan ini bertujuan memperkukuh kerjasama dua hala yang telah terjalin sejak 1960. Melalui MOU yang ditandatangani, kita berharap dapat membuka peluang baru bagi Malaysia dalam bidang pendidikan, teknologi hijau, dan pembangunan ekonomi,” kata kenyataan tersebut pada Ahad.

Dengan peringatan bahawa hubungan Malaysia dan Korea Selatan akan memasuki usia ke-65 tahun penubuhan hubungan diplomatik pada 2025, lawatan itu merupakan langkah penting dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai rakan strategik yang semakin penting di Asia.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat