PETALING JAYA: Pemuda Amanah Negeri Perak menyambut baik komitmen Barisan Nasional (BN) untuk meletakkan lebih ramai calon muda dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Timbalan Ketua Pemuda Amanah Perak, Ahmad Munzirie Ahmad Kabir, berkata inisiatif ini menunjukkan bahawa semua parti komponen Kerajaan Perpaduan berkongsi aspirasi yang sama untuk memberi ruang kepada generasi pelapis dalam politik negara.
“Kesediaan memberi peluang kepada anak muda yang disuarakan oleh YB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah sejajar dengan semangat pembaharuan yang dibawa oleh Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Isnin.
Beliau menambah, kejayaan calon-calon muda dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri dan Mahkota membuktikan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan generasi baharu.
Menurutnya, kerjasama ini perlu diteruskan dan diperkukuhkan untuk memastikan kelangsungan agenda reformasi dan pembangunan negara.
“Keberhasilan kerjasama ini dalam beberapa siri PRK membuktikan bahawa rakyat menyokong model politik matang yang mengutamakan perpaduan,” katanya.
Pemuda Amanah juga menggesa agar pendekatan mesra belia ini diteruskan dalam semua lapisan masyarakat dengan membuka lebih banyak ruang untuk anak muda menyertai kepimpinan komuniti dan proses membuat keputusan.
“Platform untuk mereka menyuarakan pandangan perlu diperkasakan, dan ekosistem yang menyokong pembangunan bakat kepimpinan muda perlu dibina.
“Kerjasama erat antara PH dan BN perlu diperkukuhkan menjelang PRU akan datang untuk memastikan kelestarian dasar-dasar yang memberi manfaat kepada generasi muda,” katanya.
Baca juga: