Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Seorang lelaki yang disyaki membunuh dan menyimpan mayat ibunya dalam peti sejuk beku selama tiga tahun di rumahnya di Taman OUG akan didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur esok.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya telah melengkapkan kertas siasatan kes itu dan merujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada hari ini.
“AGC memberi persetujuan untuk melaksanakan pertuduhan ke atas suspek di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, tempoh lanjutan reman ke atas lelaki berusia 53 tahun itu juga akan berakhir esok.
Pada 12 November lalu, polis menahan suspek selepas beliau mengakui membunuh ibu kandungnya pada 2021 sebelum meletakkan mayat mangsa di dalam peti sejuk beku di sebuah rumah di Taman OUG, Jalan Klang Lama, di sini.
Perkara itu terbongkar selepas suspek yang dilaporkan mengalami masalah kesihatan menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan.
Menurut Rusdi, setakat ini, sebanyak 13 saksi memberi keterangan untuk membantu siasatan.
Baca juga: