Lelaki tular ikat, tarik kucing ditangkap

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Seorang lelaki dipercayai mengheret kucing secara paksa dengan mengikat leher haiwan itu menggunakan tali dii sebuah kediaman di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur telah ditangkap.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, lelaki berusia 43 tahun itu telah ditahan di kediamannya pada 24 November pada jam 6.10 petang oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (D9), Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields.

“Satu kertas siasatan telah dibuka dibawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan. Permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah ke atas suspek akan dipohon untuk melengkapkan siasatan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian ini diminta untuk menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Terdahulu, tular video berdurasi 9 saat memaparkan seorang lelaki sedang mengheret seekor kucing dengan tali yang diikat pada leher haiwan berkenaan dan turut kedengaran dalam video itu, suara kucing yang menahan kesakitan, namun terus diseret.

Video berkenaan juga meraih perhatian ramai dan mengundang kemarahan orang ramai terutama pencinta haiwan yang menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap perbuatan lelaki itu yang disifatkan kejam dan tidak berperikemanusian.

Presiden Persatuan Haiwan Malaysia, Arie Dwi Andika memohon saksi utama yang merakam kejadian itu tampil membuat laporan polis dan pengesahan pelaku terbabit supaya Sistem Keadilan Jenayah Haiwan dapat dijalankan dengan baik.

Arie dilaporkan berkata, ruang alasan untuk melepaskan penjenayah perlu ditutup sepenuhnya dan pendakwaan perlu dilakukan supaya keadilan terhadap haiwan dapat berjalan dengan baik.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat