Perjalanan masih jauh, kita akan terus bekerja – Anwar

PETALING JAYA: Perjalanan masih jauh, namun Kerajaan MADANI bertekad untuk mengangkat martabat rakyat dan negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata dengan genapnya pentadbiran dua tahun Kerajaan MADANI semalam, pelbagai anjakan dan reformasi untuk membela kebajikan rakyat serta melonjak negara ke tingkat tertinggi telah dilakukan.

“Ini adalah antara inisiatif yang telah dilaksanakan sepanjang tahun kedua pentadbiran Kerajaan MADANI dalam usaha mengangkat martabat rakyat dan negara.

“Namun perjalanan kita masih jauh untuk benar-benar merealisasikan visi MADANI. Justeru, Kerajaan ini akan terus bekerja dan merangka lebih banyak inisiatif dan dasar yang memihak rakyat terbanyak, Insya-Allah,” katanya menerusi Facebook pada Isnin.

Anwar juga berkongsi infografik yang menyenaraikan beberapa inisiatif yang telah dilaksanakan, termasuk peningkatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 5.3 peratus pada suku ketiga 2024, pelaburan digital berjumlah RM185.3 bilion dan bakal mewujudkan 64,479 peluang pekerjaan dalam syarikat gergasi seperti Microsoft, Google dan lain-lain.

Ini juga termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang memberi manfaat kepada 9 juta penerima B40, Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang membantu 8.4 juta penerima membeli keperluan asas di lebih 600 kedai runcit dan pasar raya, serta Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) yang membantu 4,615 peserta golongan B40, miskin, dan miskin tegar untuk meningkatkan pendapatan mereka.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat