KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan bahawa beliau tidak menggunakan dana syarikat swasta bagi lawatan kerjanya ke empat negara.
Sebaliknya, beliau menjelaskan bahawa kerajaan membelanjakan RM1.6 juta dari dana kerajaan untuk kos penerbangan delegasi.
“Saya tidak guna dana syarikat swasta. Kerajaan guna penerbangan MAS (Malaysia Airlines) untuk lawatan empat negara dengan kos RM1.6 juta.
“Ini guna wang kerajaan sepenuhnya,” jelas Anwar menjawab kepada dakwaan badan bukan kerajaan (NGO), Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center) hari ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa baki tempat duduk ditawarkan kepada syarikat swasta yang turut terlibat dalam urusan pelaburan atau usaha sama di negara-negara tersebut, dengan mereka membayar kos berjumlah RM4.5 juta.
Anwar juga menegaskan bahawa jika menggunakan jet eksekutif kerajaan, kos akan mencecah RM2.5 juta untuk empat negara, tetapi dengan perkongsian ini, kos kerajaan hanya RM1.6 juta.
“Saya ulang, kerajaan tidak guna dana syarikat swasta. Tiada perselisihan kepentingan. Usah terperangkap dalam fitnah zaman edan,” tegasnya.
Kenyataan ini menyusul selepas Anwar memberi penjelasan di Dewan Rakyat berkenaan 70 hingga 80 peratus kos lawatan rasmi ke Mesir, Arab Saudi, Peru, dan Brazil yang telah dibayar oleh syarikat swasta yang menyertai lawatan tersebut.
Keputusan ini mencetuskan kontroversi dan kritikan, dengan pembangkang menuduh kemungkinan terdapat konflik kepentingan.
Anwar tiba di Malaysia selepas lawatan rasmi tersebut yang berlangsung dari 9 November lalu.
Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif C4 Center, Pushpan Murugiah berkata bahawa tindakan Anwar menggunakan dana syarikat swasta untuk ke luar negara akan menyebabkan kerajaan menerima tekanan daripada syarikat terbabit yang akan memohon balasan.
Pushpan berkata demikian dalam temuramah bersama Sinar Harian pada Isnin.
Baca juga: