Oleh: Kamilia Ali
PETALING JAYA: Normalisasi keganasan terhadap wanita, khususnya dalam keluarga harus dihentikan.
Naib Ketua Wanita PKR, Sangetha Jayakumar berkata semua pihak wajar memandang serius isu ini dengan memberi perhatian terhadap laporan keganasan yang dibuat oleh golongan wanita.
“… ia juga memaksa kita menghadapi realiti yang pahit, kes keganasan rumah tangga di Malaysia terus meningkat.
“Insiden ‘tumbukan’ di Dewan Undangan Negeri Sabah minggu lalu, walaupun telah diselesaikan secara damai antara pihak-pihak terlibat, tidak sepatutnya diterima sebagai tingkah laku awam yang normal,” katanya sempena sambutan Hari Antarabangsa Penghapusan Keganasan Terhadap Wanita hari ini.
Justeru, katanya Wanita PKR mengulangi komitmen untuk mewujudkan masyarakat dengan wanita dan kanak-kanak perempuan berhak merasa selamat di rumah, tempat kerja, dan komuniti mereka.
“Pada masa ini, tumpuan dan sokongan awam banyak diberikan kepada rumah kebajikan kanak-kanak, tetapi kita tidak boleh lupa bahawa kebanyakan wanita dalam situasi krisis membawa anak-anak bersama mereka.
“Oleh itu, adalah sama penting untuk melaksanakan dasar yang menyokong rumah perlindungan wanita secara mampan,” katanya.
Untuk info, keganasan rumah tangga boleh berbentuk fizikal, seksual, emosi, ekonomi, psikologi, atau ancaman berbentuk mempengaruhi pasangan dalam hubungan intim.
Baca juga: