PETALING JAYA: Kesepakatan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) adalah asas kepada kejayaan Kerajaan Perpaduan dan ia perlu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
EXCO Angkatan Muda Keadilan (AMK), Arshad Hassni berkata merujuk kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, maka penting semua pihak bertolenrasi.
“Fokus utama seharusnya tertumpu kepada mengukuhkan gabungan ini dan memastikan ia kekal utuh demi kepentingan rakyat.
“Pembahagian kerusi perlu dilakukan dengan strategi yang berhemah, mengambil kira kekuatan dan pengaruh masing-masing di kawasan tertentu.
“UMNO dan BN misalnya, memiliki peranan penting untuk terus memperkukuhkan sokongan di kawasan majoriti Melayu, sebagaimana yang dibuktikan melalui keputusan di DUN Nenggiri dan DUN Mahkota,” katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.
Beliau yang juga Ketua AMK Segambut menyatakan PH sendiri komited memastikan kemenangan di Wilayah Persekutuan dan kawasan lain di mana sokongan pengundi kepada PH masih kukuh.
“Dalam perbincangan soal kerusi, keutamaan adalah memastikan rakyat terus mendapat manfaat daripada pentadbiran yang stabil dan cekap.
“Perebutan dalaman hanya akan memberi kesan negatif kepada kepercayaan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan.
“Adalah penting untuk setiap parti dalam gabungan ini mengutamakan kebajikan rakyat, dengan memberikan tumpuan kepada isu-isu utama seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, dan kestabilan ekonomi,” katanya lagi.
Arshad turut menambah gabungan ini perlu terus memperkukuhkan sokongan akar umbi, terutamanya dalam kalangan pengundi muda yang merupakan elemen penting dalam menentukan keputusan PRU16.
Baca juga: