Ulasan | Tahniah Dr Zaliha komited reformasi Kuala Lumpur

Oleh: Norman Radzuan

Isu papan tanda Cina makan diri. Hebatnya Kerajaan Madani tidak pilih kasih.

Dalam tempoh beberapa hari ini kecoh mengenai papan tanda Cina. Kronologi bermula daripada kenyataan Tun Mahathir, “Adakah kita telah menjadi sebahagian daripada China?”

Bijak Mahathir dia yang mulakan segala galanya dengan menumpang isu perkauman untuk melemahkan kerajaan Madani.

Nampak jahat kenyataan ini tetapi itulah Mahathir seperti Hadi Awang sentiasa ‘flip floops’ mengikut keperluan peribadi masing-masing.

Yang menjadi isunya sekarang kenapa zaman Mahathir menjadi Perdana Menteri (PM 2.0) dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) 33 bulan menjadi kerajaan tidak berbangkit isu ini?

Provokasi disambut pula Menteri Motac, Tiong King Sing dengan alasan yang saya anggap mengarut. Mana mungkin pelancong China suka datang ke sini hanya kerana signboard tulisan Cina?

Bila Tiong King yang berbangsa Cina sambut isu ini maka hari ini seperti dijangka di Parlimen MP Pembangkang bergilir gilir menghentam kerajaan? Tahukah mereka sebenarnya pembangkang tersilap memainkan isu ini ibarat makan diri.

Ketika Mahathir dan Kerajaan PN menjadi kerajaan mereka tidak berani atau tidak prihatin langsung perkara ini.

Namun seperti lazim apa sahaja isu yang boleh dikaitkan dengan bangsa Cina mereka akan polemikkan sedangkan kerajaan tidak melayan dan bertindak tegas.

Akhirnya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di bawah kementerian Dr Zaliha yang prihatin dan berani mengambil tindakan. Sekali lagi Dr Zaliha menampilkan kepimpinannya yang agresif, proaktif dan berintergriti dalam melaksanakan undang-undang di Kementerian Wilayah.

Sebenarnya Kementerian Wilayah bersama DBKL dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang proses mencantikkan bandaraya KL untuk Persidangan Asean tahun hadapan dan Tahun Melawat Malaysia 2026.

Isu ini tidak perlu dipolitikkan malah pembangkang sepatutnya memuji kerajaan Madani yang membuktikan tanpa mengira kaum dan tanpa mengira Parlimen Kerajaan atau Pembangkang untuk melaksanakan undang-undang.

Walaupun ada campur tangan Menteri dan Ahli Parlimen undang-undang tidak mengenal siapa. Undang-undang adalah untuk semua bukan hanya untuk pihak-pihak tertentu.

Papan tanda itu bukan baru setahun dua dipasang malah ada yang sudah berkarat tetapi kenapa isu ini baru dibangkitkan?

Buat Menteri Motac, syarat papan iklan antaranya seperti berikut. Visual hendaklah mengutamakan penggunaan Bahasa Malaysia sama ada dari segi saiz perkataan, warna dan kedudukannya.

Aktiviti perniagaan dalam Bahasa Malaysia hendaklah diletak di sebelah atas kiri atau tengah papan tanda dan diasingkan kedudukan dengan lain lain perkataan.

Akhirnya isu kontroversi yang awalnya cuba dipolemikkan pembangkang akhirnya menyerlahkan bahawa KERAJAN MADANI telus dalam melakukan reformasi untuk negara tanpa mengira siapa yang bersalah. Inilah yang kita panggil senjata makan tuan.

Tahniah saya ucapkan kepada Dr Zaliha dan Datuk Bandar KL tanpa mengira kawasan Melayu (Chow Kit), Cina ( Petaling Street & Bukit Bintang), India (Brickfield) serta peniaga-peniaga Arab di Bukit Bintang semua diambil tindakan.

Sebenarnya mengenai papan tanda bahasa Cina ini dalam cadangan untuk diambil tindakan. Namun proses ini dimulakan dahulu untuk merobohkan gerai-gerai peniaga haram di seluruh bandaraya dan seterusnya barulah fasa-fasa yang berikutnya.

Bukan sebab Mahathir bersuara baru mahu dilakukan sedangkan Mahathir dulu waktu ada kuasa bisu isu ini. Begitu juga pembangkang seolah olah baru lahir semalam atau baru sampai KL dari kampung.

Semoga KL sembuh dari penyakitnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat