Kes Faisal Halim: Selangor FC Akan Ambil Tindakan Undang-Undang Jika Tiada Keputusan

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Tindakan undang-undang akan diambil Selangor FC (SFC) sekiranya tiada sebarang keputusan daripada siasatan kes serangan asid ke atas pemainnya, Faisal Halim.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri, Najwan Halimi berkata, SFC telah melantik peguam untuk terus memantau kes tersebut.

“SFC sudah mengupah dan melantik peguam untuk terus memantau kes ini dan tindakan susulan berkaitan kes tersebut kita serah sepenuhnya kepada pihak berkuasa,” katanya.

Beliau menambah, sekiranya tiada keputusan daripada siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa, pihak peguam dan pengurusan Selangor FC tidak akan menolak keperluan untuk mengambil tindakan sewajarnya di peringkat lebih tinggi.

Najwan juga berharap agar semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor memberikan sedikit tekanan kepada pihak berkuasa untuk melaporkan dan memberikan perincian tentang hasil siasatan kes tersebut.

“Status siasatan kes Faisal Halim telah dirujuk kepada jenayah terkelas PDRM. Kita harapkan agar laporan dan hasil siasatan ini dapat didedahkan dengan telus dan semoga ada sinar keadilan buat Faisal Halim,” katanya.

Terdahulu, Najwan memberitahu Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bahawa Speaker DUN Selangor sudah menulis surat kepada pihak polis untuk memaklumkan usul yang dipersetujui secara konsensus pada sidang DUN pada Julai lalu.

Dalam surat itu, DUN Selangor meminta siasatan menyeluruh dibuat dan laporan hasil siasatan berkenaan didedahkan kepada umum.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat