MTUC bantah penambahan waktu kerja jururawat

Oleh: Shafira Aziz

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyuarakan kebimbangan terhadap keputusan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menambah waktu kerja jururawat daripada 42 jam kepada 45 jam seminggu bermula 1 Disember depan.

Presiden MTUC, Mohd Effendy Abdul Ghani berkata keputusan itu dikritik kerana dibuat tanpa perbincangan bersama pihak berkepentingan seperti Kesatuan Jururawat Malaysia (MNU).

“Langkah sebegini melemahkan pendekatan kolaboratif yang diperlukan untuk merangka dasar yang adil dan sesuai dengan realiti lapangan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Penambahan waktu kerja tanpa mengambil kira cabaran sedia ada, jelasnya, boleh meningkatkan tekanan mental dan fizikal jururawat, seterusnya menjejaskan kualiti perkhidmatan kepada pesakit.

Beliau turut menegaskan bahawa tekanan kerja yang melampau berpotensi menyebabkan jururawat mencari peluang pekerjaan di tempat lain, sekaligus memburukkan lagi masalah kekurangan kakitangan dalam sektor kesihatan.

“Jika jururawat mengalami tekanan mental atau keletihan, ia boleh meningkatkan risiko kesilapan dalam penjagaan pesakit,” tambahnya.

Oleh itu, Effendy menyeru kerajaan untuk segera mengadakan dialog bersama MNU dan pihak berkepentingan lain bagi menilai semula keputusan tersebut.

Kajian komprehensif terhadap beban kerja, ganjaran dan sistem sokongan jururawat juga dicadangkan untuk memastikan tenaga kerja kesihatan yang mampan dan bermotivasi.

“Jururawat adalah tulang belakang kepada sistem penjagaan kesihatan negara, dan kebajikan mereka tidak boleh dikompromi,” tegasnya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat