Penantian hampir dua tahun terbalas, terima kasih Zahid – Tajuddin

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Penantian hampir dua tahun Datuk Seri Tajuddin terbalas apabila UMNO menarik balik penggantungan beliau selama enam tahun berkuatkuasa serta-merta.

Susulan itu, Tajuddin menyampaikan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerana menyelesaikan perselisihan mereka yang telah berlarutan selama lebih dua tahun.

“Syukur kepada Allah, saya telah menunggu detik ini hampir dua tahun. Saya amat berterima kasih kepada ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi parti yang sebulat suara menyokong keputusan untuk menarik balik penggantungan keahlian saya.

“Saya bersemangat untuk terus berkhidmat dan menyumbang kepada usaha parti dalam mempertahankan masa depan bangsa, agama dan negara tercinta kita.

“Saya dengan penuh hormat menerima nasihat yang diberikan oleh beliau.

“Insya-Allah, saya berharap dapat bekerjasama rapat dengan beliau sebagai ahli UMNO, tokoh penting dalam parti dan sebahagian daripada individu penting dalam kerajaan semasa,” katanya dalam satu rakaman video pada Rabu.

Menurut Tajuddin, beliau telah menunggu keputusan berkenaan hampir dua tahun dan berjanji untuk terus berkhidmat kepada parti, khususnya dalam persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Beliau turut menghargai sokongan yang diterimanya daripada penyokong melalui panggilan telefon, mesej WhatsApp dan media sosial yang mendorongnya untuk terus berjuang bersama rakan-rakan UMNO.

“Saya amat menghargai galakan mereka, dan dengan izin Allah serta kesihatan yang baik, saya akan berusaha sedaya upaya untuk berkhidmat kepada parti,” tambahnya.

Pada Isnin lalu, UMNO menarik balik penggantungan keahlian enam tahun terhadap Tajuddin berkuatkuasa serta-merta.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan perkara itu berkata, keputusan dibuat selaras dengan perlembagaan parti.

Tajuddin sebelum ini digantung keahlian daripada UMNO selama enam tahun pada Oktober 2022 akibat kritikannya terhadap Ahmad Zahid.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat