PETALING JAYA: Jawatan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) dilihat menjadi rebutan antara PAS dan BERSATU susulan kedua-dua parti memberi kenyataan tidak senada dalam pemilihan calon jawatan itu.
Pada Selasa, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan kepada media tempatan bahawa Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sah akan dilantik menjadi Setiausaha Agung BERSATU dan PN.
Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU berkata, beliau sudah berbincang dari ‘hati ke hati’ dengan Azmin Ali dan pelantikan itu dipersetujuinya.
“Saya sudah bertemu dan bincang hati ke hati, apa yang patut dibuat dan alhamdulillah, beliau dengan rela bersetuju. Tiada isu lagi,” katanya.
Portal berita itu juga mengesahkan Azmin Ali menerima tawaran berkenaan.
Muhyiddin dilaporkan berkata, berkemungkinan pengumuman rasmi pelantikan Azmin Ali ke jawatan itu akan dibuat selesai Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) atau pada hari perhimpunan.
Pelantikan itu susulan bekas SUA BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin disahkan menang tanpa bertanding jawatan Timbalan Presiden BERSATU bagi penggal 2024-2027 pada pemilihan parti berkenaan baru-baru ini, menggantikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Bagaimanapun, tindakan pengumuman Muhyiddin itu didakwa mencetus rasa tidak puas hati sehingga mengundang tindak balas PAS.
Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden mencadangkan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilantik sebagai Setiausaha Agung PN yang baru.
Afnan mencadangkan perkara itu memandangkan Hamzah sudah diberi mandat baru.
Menurut Afnan, Takiyuddin layak memegang jawatan s
Setiausaha Agung PN berdasarkan pengalaman dan senioritinya dalam parti tersebut.
“Lebih-lebih lagi, beliau sebelum ini merupakan Timbalan Setiausaha Agung PN. Mohon mencadang,” katanya ringkas menerusi hantaran di Facebook.
Sementara itu, Ahli Parlimen PAS menganggap laporan pengumuman Muhyiddin itu hanyalah di peringkat cadangan.
Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Ahmad Marzuk Shaari berkata, perkara itu belum disahkan memandangkan ia belum dibincangkan dalam mesyuarat pucuk pimpinan tertinggi PN.
“Itu cadangan, belum sahkan lagi, macam mana nak sahkan mesyuarat belum lagi,” katanya ketika ditanya pada sidang media di Dewan Rakyat pada Rabu.
Pada sidang media sama, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid turut senada dengan Ahmad Marzuk dan menyatakan pelantikan SUA BERSATU akan diumumkan pada perhimpunan BERSATU akan datang.
“Mesyuarat PN pada 9 Disember, saya rasa itu cadangan mungkin wartawan salah ‘qoute’. Kita tunggu selepas PAT,” katanya yang mewakili BERSATU.
Terdahulu, Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad pula menepis laporan media yang memetik sumber mengatakan PAS tidak setuju dengan pelantikan Azmin.
“Itu daripada mana? Musuh ke? Kalau (memetik) sumber, tak boleh.
“Sumber ni bisikan-bisikan syaitan,” katanya.
Baca juga: