Oleh: Syahirah Harish
GEORGE TOWN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga, Mohd Yusni Mat Piah menarik balik kenyataannya yang mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin ke-17 terkaya di dunia.
Mohd Yusni menjelaskan bahawa sumber yang digunakannya ketika membuat kenyataan itu dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada Rabu tidak boleh dijadikan rujukan sah.
“Saya tarik balik kerana sumber ‘Love Money’ tidak boleh dijadikan rujukan dan saya minta maaf kepada semua,” katanya.
Terdahulu, kenyataan Mohd Yusni mencetuskan perhatian apabila beliau memetik laporan dari laman dalam talian Love Money yang menyenaraikan beberapa pemimpin dunia, termasuk Anwar Ibrahim sebagai antara yang terkaya.
Malaysia Bangkit cuba menghubungi seorang wakil rakyat Pulau Pinang bagi mendapatkan ulasan lanjut mengenai perkara ini.