Oleh: Syahirah Harish
PETALING JAYA: Malaysia mencatat sejarah penting dalam usaha global memerangi rasuah apabila menjadi antara negara pertama menandatangani Konvensyen Makkah Al-Mukarramah pada Mesyuarat Menteri Kedua Agensi Penguatkuasaan Undang-Undang Antirasuah Negara-Negara Anggota OIC di Doha, Qatar.
Menurut kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), perjanjian tersebut membuka ruang untuk kerjasama lebih erat antara negara-negara anggota termasuk pertukaran maklumat, kepakaran dan pembangunan kapasiti dalam membanteras rasuah.
Delegasi Malaysia diketuai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Sri Azalina Othman Said yang turut menegaskan komitmen Malaysia terhadap usaha ini melalui pelancaran Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028.
“Malaysia terus memimpin dalam memperkukuhkan integriti dan ketelusan.
“Kejayaan ini turut disokong oleh peningkatan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI), dari tangga ke-61 ke tangga ke-57 tahun lalu,” katanya.
Mesyuarat yang berlangsung pada 26 dan 27 November itu dianjurkan bersama oleh Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Qatar Administrative Control and Transparency Authority (ACTA).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki turut hadir dan mengetuai mesyuarat pegawai kanan delegasi serta turut menyertai delegasi ialah Timbalan Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan SPRM, Nadiah Azis.
Malaysia memanfaatkan platform itu untuk berkongsi pengalaman dan inisiatif negara dalam menegakkan prinsip akauntabiliti dan ketelusan.
Kehadiran negara dalam mesyuarat itu mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pemimpin dalam usaha membanteras rasuah, selari dengan komitmen terhadap Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Rasuah (UNCAC).
Baca juga: