Oleh: Haikal Tajuddin
MALBATT 850-12 telah menyediakan bantuan khas kepada masyarakat Tibnine yang kini sedang menghadapi musim sejuk.
Menurut kenyataan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), bantuan ini dilaksanakan menerusi program Civil Military Cooperation (CIMIC) di Tibnine Government Hospital.
“Dalam program ini, Komander MALBATT 850-12, Kol Johan Effendi Haji Mohd Shalleh telah menyerahkan pelbagai sumbangan termasuk ubat-ubatan, peralatan hospital, mainan dan bahan bacaan kanak-kanak daripada NGO Malaysia kepada wakil Pengarah Hospital Tibnine, Hasan Abbas.
“Sumbangan tersebut adalah sebahagian daripada komitmen MALBATT 850-12 untuk memperkukuhkan hubungan dengan komuniti setempat,” jelas kenyataan ATM.
Dalam pada itu, bantuan itu juga diakui sebagai sokongan misi United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL) dalam mempromosikan keamanan dan kesejahteraan serta meringankan beban masyarakat setempat.
“Program CIMIC ini merupakan aktiviti pertama yang dilaksanakan oleh MALBATT 850-12 sejak mengambil alih tugas operasi pada 16 November 2024.
“Kejayaan program ini menjadi langkah awal yang signifikan dalam membina kepercayaan dan hubungan erat antara pasukan pengaman dan masyarakat tempatan,” jelas ATM.
Untuk info, MALBATT 850-12 merujuk kepada Malaysia Battalion 850-12 yang merupakan sebuah unit pasukan tentera Malaysia yang ditempatkan dalam misi pengaman di luar negara.
Ia dihantar ke kawasan yang memerlukan bantuan pengaman atau misi kemanusiaan di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau organisasi antarabangsa lain seperti di Palestin dan Gaza.
Baca lagi.