Pemuda AMANAH puji Belanjawan Perak 2025, terbesar dalam sejarah

Oleh: Shafira Aziz

PETALING JAYA: Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Perak menyambut baik pembentangan Belanjawan Perak 2025 yang disifatkan sebagai belanjawan terbesar dalam sejarah negeri dengan jumlah RM1.52 bilion.

Ketua Pemuda AMANAH Perak, Khairol Najib Hashim berkata, belanjawan itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk terus memacu pembangunan Perak dan kesejahteraan rakyat.

“Prestasi kewangan negeri yang mencatat kutipan hasil mencecah RM1.199 bilion sehingga 28 November membuktikan keberkesanan pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam mengurus kewangan dengan cekap,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau turut memuji peruntukan RM94.84 juta untuk pembangunan modal insan dan belia termasuk inisiatif pendidikan seperti Program Tuisyen Cikgu Saarani dan pemerkasaan TVET.

“Fokus kepada pendidikan dan latihan kemahiran ini akan membuka peluang cerah kepada anak muda Perak dalam pasaran kerja masa hadapan,” ujarnya.

Selain itu, peruntukan RM21.2 juta untuk pembangunan sukan juga mendapat perhatian apabila Pemuda AMANAH menyifatkan langkah itu sebagai usaha serius kerajaan negeri melahirkan lebih ramai atlet berkualiti dari negeri itu.

Khairol Najib turut memuji pemberian Bantuan Khas Kewangan dua bulan gaji kepada penjawat awam negeri yang dilihat sebagai penghargaan terhadap dedikasi mereka.

“Langkah ini mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan penjawat awam,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yakin bahawa inisiatif yang digariskan dalam belanjawan itu akan membawa Perak ke arah kemajuan yang lebih pesat seiring dengan Pelan Perak Sejahtera 2030.

“Kami menyeru semua pihak untuk berganding bahu demi menjayakan agenda pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat,” tambahnya.

Anda Mungkin Berminat