Rakyat Kelantan reda, harap tiada gelombang kedua

KOTA BHARU: Banjir yang diharap surut setelah hujan reda nampaknya kembali menggusarkan warga negeri Kelantan apabila hujan lebat bermula tengah malam hingga pagi hari ini.

Menurut penduduk Ketereh yang hanya mahu dikenali dengan nama Salma, hatinya berbunga seketika selepas air banjir nampak surut dan hujan juga berhenti. Namun ia hanya seketika selepas hujan lebat dan air banjir juga semakin meningkat.

“Ya, kelmarin (Rabu) pesta sebab dah lama Ketereh tak naik air macam ni, budak-budak ni pun seronok main air, orang tua pun mengharung air nak ke pasar membeli barang makanan, tapi sejak semalam (Khamis), hujan lebat macam ‘chipsmore’, air makin naik sampai peha, kedai pun ada satu dua ja buka, mujurlah memang ‘standby’ lauk kering kat rumah,” kata Salma kepada Malaysia Bangkit pada Jumaat yang rumahnya menjadi seakan pulau kerana dikelilingi air banjir di kawasan kejiranan.

Sementara itu, penduduk Kok Lanas yang mesra dipanggil Abang Din pula berkata jalan raya utama yang mula dilimpahi air banjir juga menyatakan bahawa banjir tahun ini lebih dahsyat berbanding 2014.

“Orang kata, banjir ada kitaran 10 tahun yang ‘heavy’ punya. Jadi, saya rasa banjir tahun ni lebih teruk kalau nak banding 10 tahun dahulu, tak boleh ke Ketereh dah sebab tengah jalan tu banjir.

“Ini dorang kata baru gelombang pertama sampai hari ni, kalau ada gelombang kedua lagi, tak tahu macam mana,” kata Abang Din yang rumahnya turut dimasuki air sehingga paras lutut.

Sementara itu, tinjauan kami di Pasir Mas turut mendapati Hospital Pasir Mas turut digenangi air banjir paras buku lali memasuki wad pesakit kira-kira 6.30 pagi tadi. Bagaimanapun keadaan terkawal dengan petugas hospital telah memindahkan pesakit ke tempat lebih selamat.

Menerusi laman sesawang info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat sehingga 9.11 pagi hari ini, jumlah mangsa banjir yang berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) 75,806 dengan Kelantan paling tinggi iaitu 59,741 orang di 225 pusat pemindahan sementara (PPS) merangkumi 10 daerah. Pasir Mas mencatatkan jumlah mangsa paling tinggi.

Terengganu juga mencatatkan peningkatan mangsa banjir dengan 12,335 orang di 233 PPS. Begitu juga dengan lima daerah di Kedah yang turut meningkat kepada 2,264 orang di 31 PPS.

Selain itu, empat negeri juga turut dilanda banjir iaitu Negeri Sembilan (849), Perlis (395), Selangor (161) dan Perak seramai 61 orang.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap bahaya di tiga negeri pantai timur sehingga Jumaat.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat