Oleh: Kamilia Ali
KOTA BHARU: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba di Kelantan hari ini untuk meninjau sendiri keadaan banjir yang sedang melanda negeri itu.
Beliau bersama Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud menerima taklimat daripada Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kelantan mengenai situasi semasa.
Ahmad Zahid menyifatkan situasi banjir kali ini adalah lebih serius berbanding sebelumnya dengan lebih 71,000 mangsa melibatkan lebih 22,000 keluarga telah dipindahkan ke 240 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negeri.
Beliau juga sempat ke Menara Tinjau Sungai Kelantan iaitu di Tambatan Diraja Kota Bharu untuk menilai sendiri keadaan Sungai Kelantan yang telah menyebabkan limpahan air ke kawasan sekitarnya.
“Saya melihat koordinasi antara agensi yang terlibat adalah baik dan kita juga mengenalpasti pelbagai langkah penambahbaikan yang akan dilakukan segera agar kebajikan serta keperluan rakyat negeri Kelantan yang terjejas banjir disantuni segera,” katanya.
Beliau juga telah mengarahkan beberapa tindakan segera, termasuk mengatur gerak lebih 7,000 anggota dan pelbagai aset dari semua agensi yang terlibat bagi memastikan bantuan sampai kepada seluruh mangsa banjir.
Ahmad Zahid turut menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama menitipkan doa agar keadaan ini segera pulih dan segala usaha dipermudahkan oleh-Nya. *
“Saya mohon agar semua terus tabah dan sabar,” ujarnya.
Baca juga: