87 peratus individu bujang hendak kahwin tetapi hadapi masalah kewangan

Oleh: Haikal Tajuddin

PETALING JAYA: Statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan bahawa kadar perkahwinan semakin menurun kepada 12.6 peratus sejak tahun 2023.

Menurut Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam satu kenyataan, jumlah perkahwinan menurun kepada 188,100 pada tahun 2023 berbanding 215,022 pada tahun 2022.

Katanya, antara punca penurunan itu termasuk masalah kewangan, ketiadaan calon yang sesuai dan fokus kepada kemajuan kerjaya yang mendorong golongan muda menangguhkan perkahwinan atau memilih untuk tidak berkahwin.

“Data itu selaras dengan dapatan Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima (KPKM-5) yang mana 86.8 peratus individu bujang mempunyai keinginan untuk berkahwin tetapi dihalang oleh perkara sedemikian,” katanya.

Kata kenyataan itu lagi, kecenderungan berlaku terutama dalam kalangan wanita yang menyumbang kepada penurunan kadar kesuburan negara.

“Penurunan kadar kesuburan ini membimbangkan dan mampu mengakibatkan krisis demografi seperti penyusutan pertumbuhan penduduk, mempercepatkan proses penuaan penduduk, kebergantungan kepada pekerja asing dan memberi impak besar terhadap ekonomi dan sosial di Malaysia,” katanya.

Oleh itu, KPWKM melalui LPPKN telah menawarkan kursus Pra Perkahwinan SMARTSTART 2.0 untuk mengukuhkan semula institusi perkahwinan.

Kursus itu diyakini dapat memberi persediaan melayari alam perkahwinan, membantu pasangan membuat keputusan yang bijak, memahami peranan masing-masing dan mengatasi konflik keluarga, sekali gus mengelakkan perceraian.

Baca lagi.

Anda Mungkin Berminat